KOLEJ TEKNOLOGI ALPHA BERI PELUANG KEDUA
Oleh: Muhamad Helmi Makhtar
MENITI arus serba moden ini, persaingan
dalam setiap bidang menjadi begitu genting sehingga sukar untuk mencari peluang
kedua apabila menghadapi kegagalan. Dalam konteks pendidikan di Malaysia pula,
berjaya melanjutkan pembelajaran daripada peringkat sekolah menengah ke
peringkat universiti dianggap sebagai titik tolak kepada masa depan yang lebih
cerah. Sebaliknya, andai gagal diterima masuk ke universiti, tiada lagi peluang
yang setara ditawarkan di tempat lain mengakibatkan negara kehilangan permata
pintar yang mungkin berguna untuk negara sehinggalah Kolej Teknologi Alpha
ditubuhkan.
Nama
Kolej Teknologi Alpha adalah asing bagi kebanyakan masyarakat di negara ini. Berbanding
pusat pengajian lain yang telah lama bertapak dan menempa nama, Kolej Teknologi
Alpha baru berdiri selama 10 tahun dengan fasiliti yang serba sederhana namun
memiliki visi dan misi yang cukup tinggi. Visi dan misi mereka adalah untuk
melihat anak-anak muda yang gagal melanjutkan pembelajaran ke peringkat
universiti mendapat peluang kedua untuk membuktikan diri mereka dan turut
mencapai kejayaan.
Individu yang bertanggungjawab mengilhamkan
penubuhan kolej ini adalah Dr Hamzaid bin Yahya selaku Ketua Eksekutif Kolej
Teknologi Alpha. Beliau memiliki impian yang besar untuk melihat kejayaan
anak-anak muda serta menaruh kepercayaan terhadap kemampuan mereka untuk
menebus kegagalan lampau sekali gus berjaya dalam hidup. Menerusi Dana
Pendidikan Dr Hamzaid, Kolej Teknologi Alpha memberi peluang kepada pelajar
lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi atau peringkat
diploma yang gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah untuk mencapai
impian mereka di kolej ini. Berkolaborasi dengan Universiti Utara Malaysia
(UUM), kolej ini menyediakan dua kursus yang diambil terus daripada UUM sendiri
iaitu pentadbiran perniagaan dan komunikasi.
Untuk
kemasukan ke kolej ini, adalah diwajibkan untuk para pelajar mengikuti program
Intensif Bahasa Inggeris (IBI) yang disediakan oleh pihak kolej di bawah Dana
Pendidikan Dr Hamzaid sendiri. Program selama dua bulan ini bertujuan untuk
menajamkan skil berbahasa inggeris dalam kalangan bakal pelajar yang ingin
menyambung pembelajaran di peringkat ijazah di kolej ini. Dana yang disediakan
meliputi kos penginapan hostel, utiliti dan program IBI itu sendiri. Setiap peserta yang mengikuti program ini
juga disediakan duit poket sebanyak RM 200 setiap dua minggu untuk menampung
kos pembelanjaan harian mereka.
Bagi
peserta daripada Sabah dan Sarawak pula, pihak kolej menyediakan kos
penerbangan ke Semenanjung Malaysia beserta pengangkutan daripada lapangan
terbang ke kolej. Peserta program IBI turut diberi kebebasan membuat pilihan
sama ada ingin meneruskan pengajian di kolej ini atau tidak. Bagi yang
memutuskan untuk menyambung pembelajaran di sini, duit poket sebanyak RM250
setiap dua minggu akan dibekalkan sehingga mendapat pinjaman daripada
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Keprihatinan
Kolej Teknologi Alpha makin terserlah apabila pihak kolej akan turut
menyediakan tempat-tempat yang sesuai untuk para pelajar membuat praktikal
seterusnya ke alam pekerjaan. Peluang yang diberikan ini adalah amat sukar
dijumpai di tempat lain dan telah memberi nafas baru kepada para pelajar yang
kebanyakannya tidak bernasib baik untuk menyambung pembelajaran mereka ke
peringkat ijazah.
Sistem
pendidikan sedia ada yang hanya melihat akan keputusan peperiksaan sebagai
penanda aras akan kemampuan pelajar wajar diteliti terutamanya pada masa kini
dimana terlalu ramai pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang
sehingga menutup peluang kepada golongan pelajar yang sedikit rendah
keputusannya. Pihak Kolej Teknologi Alpha sepenuhnya percaya akan potensi yang
ada pada setiap pelajar tanpa mengambil kira keputusan peperiksaan atau pointer
yang diperolehi. Pihak kolej yakin dengan usaha berterusan ditambah dengan
program IBI untuk pemantapan bahasa Inggeris akan dapat melahirkan pelajar yang
mampu menyumbang kepada negara suatu masa nanti.
Dr Hamzaid
turut menyeru anak-anak muda di Malaysia untuk tidak mudah berputus asa dalam
meneruskan pembelajaran kerana ia merupakan salah satu jalan untuk mencapai
kejayaan dalam hidup. Beliau turut berbesar hati untuk menyediakan peluang
kedua ini demi membantu masyarakat namun menegaskan hanya untuk mereka yang
benar-benar menginginkannya.



Boleh sy tau yuran penuh dikenakan untuk program Ijazah bersama UUM
ReplyDelete