Thursday, 23 November 2017



BERITA KAMPUS: PROGRAM ZIARAH SAHUR INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

SEREMBAN 18 Jun - Program Ziarah Sahur Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2016 anjuran akhbar Utusan Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Pertubuhan Mahasiswa Negeri Sembilan (Manis) adalah satu inisiatif yang membolehkan para mahasiswa berdamping erat bersama masyarakat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, melalui program itu, para pelajar IPT dapat merasai sendiri denyut nadi masyarakat di pelbagai peringkat kehidupan.Katanya, perkara itu penting memandangkan mereka adalah bakal pemimpin pelapis yang akan menerajui negara pada masa depan.“Kita tidak boleh mengasingkan diri daripada masyarakat sebaliknya berdamping erat dan merasai denyut nadi mereka.

“Pada masa yang sama, kita boleh menyebarkan ilmu yang boleh membawa manfaat kepada semua orang.“Saya gembira dengan penyer­taan semua pihak yang bertungkus lumus bagi menjayakan program ini,” katanya sebelum melepaskan para peserta konvoi Ziarah Sahur IPT 2016 di kediaman rasmi Menteri Besar awal hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan; Setiausaha MAINS, Kamal Amran Kamaruddin; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Pengurus Jabatan Pengarang Utusan, Ainol Amriz Ismail; Pengarah Eksekutif Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesan Arumugam; Pengurus Besar Pemasaran dan Pengedaran Utusan Melayu (M) Berhad, Rosman Zulkifli; Penolong Rektor UiTM Seremban 3, Prof. Madya Mohammad Nor Othman; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USIM; Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan; Presiden Manis, Anwar Muttaqin; serta para pelajar Institusi Pengajian Tinggi terbabit dengan program berkenaan.

Program Ziarah Sahur IPT itu turut mendapat kerjasama Yayasan Negeri Sembilan, Institut Pendidikan Guru Raja Melewar serta Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Belia Negeri Sembilan.Lebih 2,000 bungkus makanan diedarkan di beberapa lokasi dalam program itu yang bermula pukul 10.30 malam semalam.

Makanan untuk sahur itu di­edarkan kepada para pelajar di beberapa IPT di sekitar Seremban, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau dan Nilai.IPT yang menerima sumba­ngan makanan itu ialah Universiti Sains Islam Malaysia, UiTM Cawangan Seremban, UiTM Cawangan Kuala Pilah, Politeknik Port Dickson, Politeknik Nilai, Kolej Uniti, Kolej Teknologi Alpha, Institut Latihan Perindustrian Pedas, Institut Kemahiran Belia Negara Chembong dan Kolej Yayasan.
Bungkusan makanan itu turut diedarkan kepada beberapa madrasah tahfiz dan rumah anak yatim di sekitar Seremban.Lebih 100 petugas terdiri daripada pelajar IPT, belia, kakitangan MAINS dan kakitangan Kumpulan Utusan terlibat mengedarkan bungkusan makanan berkenaan.


Selain makanan, sebanyak 2,600 botol minuman susu kultur turut diedarkan sumbangan Yakult (M) Sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment