Thursday, 23 November 2017



BERITA KAMPUS: PROGRAM ZIARAH SAHUR INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

SEREMBAN 18 Jun - Program Ziarah Sahur Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2016 anjuran akhbar Utusan Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Pertubuhan Mahasiswa Negeri Sembilan (Manis) adalah satu inisiatif yang membolehkan para mahasiswa berdamping erat bersama masyarakat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, melalui program itu, para pelajar IPT dapat merasai sendiri denyut nadi masyarakat di pelbagai peringkat kehidupan.Katanya, perkara itu penting memandangkan mereka adalah bakal pemimpin pelapis yang akan menerajui negara pada masa depan.“Kita tidak boleh mengasingkan diri daripada masyarakat sebaliknya berdamping erat dan merasai denyut nadi mereka.

“Pada masa yang sama, kita boleh menyebarkan ilmu yang boleh membawa manfaat kepada semua orang.“Saya gembira dengan penyer­taan semua pihak yang bertungkus lumus bagi menjayakan program ini,” katanya sebelum melepaskan para peserta konvoi Ziarah Sahur IPT 2016 di kediaman rasmi Menteri Besar awal hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan; Setiausaha MAINS, Kamal Amran Kamaruddin; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Pengurus Jabatan Pengarang Utusan, Ainol Amriz Ismail; Pengarah Eksekutif Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesan Arumugam; Pengurus Besar Pemasaran dan Pengedaran Utusan Melayu (M) Berhad, Rosman Zulkifli; Penolong Rektor UiTM Seremban 3, Prof. Madya Mohammad Nor Othman; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USIM; Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan; Presiden Manis, Anwar Muttaqin; serta para pelajar Institusi Pengajian Tinggi terbabit dengan program berkenaan.

Program Ziarah Sahur IPT itu turut mendapat kerjasama Yayasan Negeri Sembilan, Institut Pendidikan Guru Raja Melewar serta Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Belia Negeri Sembilan.Lebih 2,000 bungkus makanan diedarkan di beberapa lokasi dalam program itu yang bermula pukul 10.30 malam semalam.

Makanan untuk sahur itu di­edarkan kepada para pelajar di beberapa IPT di sekitar Seremban, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau dan Nilai.IPT yang menerima sumba­ngan makanan itu ialah Universiti Sains Islam Malaysia, UiTM Cawangan Seremban, UiTM Cawangan Kuala Pilah, Politeknik Port Dickson, Politeknik Nilai, Kolej Uniti, Kolej Teknologi Alpha, Institut Latihan Perindustrian Pedas, Institut Kemahiran Belia Negara Chembong dan Kolej Yayasan.
Bungkusan makanan itu turut diedarkan kepada beberapa madrasah tahfiz dan rumah anak yatim di sekitar Seremban.Lebih 100 petugas terdiri daripada pelajar IPT, belia, kakitangan MAINS dan kakitangan Kumpulan Utusan terlibat mengedarkan bungkusan makanan berkenaan.


Selain makanan, sebanyak 2,600 botol minuman susu kultur turut diedarkan sumbangan Yakult (M) Sdn. Bhd.




RENCANA: MENDEPANI CABARAN DIDIKAN

PENDIDIKAN sangat pen­ting dalam kehidupan, juste­ru­ melalui pendidikan dan pemahaman yang men­dalam dan seimbang akan dapat melahirkan insan seimbang dengan iman dan takwa. Al-Quran dan sunah adalah sumber ilmu utama yang seharus­nya menjadi rujukan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Perbincangan tentang falsafah pendidikan dalam sebuah negara berbilang kaum sangat penting bagi mendedahkan maklumat berkaitan landasan falsafah dan hala tujunya. Pendekatan dan usaha yang sama telah diambil institusi pendidikan di Malaysia dalam memenuhi ke­perluan pendidikan. Pembelajaran sepanjang hayat kini semakin penting. Hala tuju pendidikan di Malaysia dari segi falsafah cukup jelas dan telah difahami oleh warga pendidik. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), boleh dikatakan semua guru merupakan komponen penting kerana perlu bertanggungjawab dalam sebahagian besar kerangka falsafah tersebut.

Berteraskan Falsafah Pendidikan Islam (FPI) pula jelas sekali Malaysia mempunyai matlamat untuk menggilap potensi setiap pelajar mengikut kekuatan masing-masing. Apa yang paling utama daripada matlamat ini adalah diharapkan mampu membina sebuah masyarakat Malaysia yang sempurna dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Keseimbangan ini pula berakar umbi kepada keyakinan dan keimanan kepada Tuhan, Pencipta dan Pentadbir seluruh alam.

Melalui matlamat pendidikan ini, perancangan, pelaksanaan dan kajian terus dilakukan untuk menghasilkan sebuah masyarakat Malaysia yang mempunyai ilmu, ketokohan, budi, dan kemahiran mengurus diri serta organisasi. Kekuatan setiap individu masyarakat seperti ini pula mampu menjulang Malaysia untuk terus berdaya saing, berkembang maju, makmur dan terkehadapan. FPK ini jelas selari dengan falsafah yang diutarakan oleh tokoh pendidik di negara ini. Selain pendidikan berkaitan dengan perkembangan ilmu pengetahuan, pendidikan akhlak juga penting kepada murid dan pelajar. Selain pembangunan akal, pembangunan akhlak juga menjadi salah satu aspek utama dalam pembangunan pelajar yang seimbang.

Jika diperhalusi pernyataan dalam FPK itu, terdapat dua aspek penting yang terkandung di dalamnya adalah wajah insan yang diingini dan kaedah untuk mencapai wajah tersebut. Rupa bentuk wajah yang diingini ialah insan yang baik dan cemerlang dalam empat aspek, iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Aspek intelek penting kerana manusia yang baik ialah manusia yang berilmu, cintakan ilmu, mempunyai daya intelek dan daya fikiran yang tinggi. Mereka tidak mudah terpengaruh me­lainkan berlandaskan fakta dan ilmu yang tepat benar dan membawa kebaikan kepada manusia. Manakala, aspek rohani pula me­rujuk kepada jiwa insan yang lebih tepat kepada kalbu yang memberi pancaran kepada suara hati. Nilai yang dihayatinya dengan berkesan akan menimbulkan ke­sedaran tentang apa yang betul dan apa yang salah, dengan rasa simpati, prihatin dan seumpamanya.

Aspek emosi pula menekankan tentang perasaan. Seorang insan yang baik dan cemerlang ialah insan yang mempunyai perasaan yang seimbang iaitu perasaan cinta dan kasih sayang antara satu sama lain. Kasih sa­yang menjadikan insan tersebut cintakan kedamaian, perpaduan, persaudaraan dan silaturahim serta pembangunan yang baik. Sifat ini sangat penting, kerana insan yang hidup tanpa rasa kasih sayang akan mirip menjadi insan yang kejam, ganas dan hanya mementingkan diri sendiri. Suka memusnahkan pembangunan yang dibina, melakukan kekejaman dan huru-hara dan memusnahkan alam sekitar.

Bagi aspek jasmani memberi penekanan kepada kecergasan dan kesi­hatan mental dan fizikal. Ha­nya insan yang sihat sahaja yang akan dapat berfungsi sepenuhnya secara produktif. Justeru, keempat-empat aspek ini penting dalam diri seseorang untuk menjadikan dan melahirkan insan yang seimbang dan harmoni.

Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa. Kepelbagaian ini diwarnai oleh budaya bangsa dan agama yang berbeza-beza antara satu sama lain. Inilah keunikan negara kita yang cemerlang di mata dunia. Keharmonian ini te­lah lama dipupuk dalam kalangan rakyat sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya dan menjadikan rakyatnya bersatu hati.

Perbezaan fahaman politik bukanlah halangan untuk menjadikan perpaduan sebagai agenda pen­ting. Bagi mengekalkan perpaduan ini kita perlulah memahami serta menghormati agama dan budaya rakyat pelbagai kaum dan keturunan di negara ini. Apa yang lebih penting, murid dan pelajar juga mesti berubah dan tabah menghadapi perubahan dengan ketrampilan berbahasa dan berkomunikasi bagi memenuhi ke­perluan pada masa akan datang.





IKLAN KORPORAT


KOLEJ TEKNOLOGI ALPHA BERI PELUANG KEDUA

Oleh: Muhamad Helmi Makhtar

MENITI arus serba moden ini, persaingan dalam setiap bidang menjadi begitu genting sehingga sukar untuk mencari peluang kedua apabila menghadapi kegagalan. Dalam konteks pendidikan di Malaysia pula, berjaya melanjutkan pembelajaran daripada peringkat sekolah menengah ke peringkat universiti dianggap sebagai titik tolak kepada masa depan yang lebih cerah. Sebaliknya, andai gagal diterima masuk ke universiti, tiada lagi peluang yang setara ditawarkan di tempat lain mengakibatkan negara kehilangan permata pintar yang mungkin berguna untuk negara sehinggalah Kolej Teknologi Alpha ditubuhkan.

            Nama Kolej Teknologi Alpha adalah asing bagi kebanyakan masyarakat di negara ini. Berbanding pusat pengajian lain yang telah lama bertapak dan menempa nama, Kolej Teknologi Alpha baru berdiri selama 10 tahun dengan fasiliti yang serba sederhana namun memiliki visi dan misi yang cukup tinggi. Visi dan misi mereka adalah untuk melihat anak-anak muda yang gagal melanjutkan pembelajaran ke peringkat universiti mendapat peluang kedua untuk membuktikan diri mereka dan turut mencapai kejayaan.


Individu yang bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan kolej ini adalah Dr Hamzaid bin Yahya selaku Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Alpha. Beliau memiliki impian yang besar untuk melihat kejayaan anak-anak muda serta menaruh kepercayaan terhadap kemampuan mereka untuk menebus kegagalan lampau sekali gus berjaya dalam hidup. Menerusi Dana Pendidikan Dr Hamzaid, Kolej Teknologi Alpha memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi atau peringkat diploma yang gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah untuk mencapai impian mereka di kolej ini. Berkolaborasi dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), kolej ini menyediakan dua kursus yang diambil terus daripada UUM sendiri iaitu pentadbiran perniagaan dan komunikasi.

            Untuk kemasukan ke kolej ini, adalah diwajibkan untuk para pelajar mengikuti program Intensif Bahasa Inggeris (IBI) yang disediakan oleh pihak kolej di bawah Dana Pendidikan Dr Hamzaid sendiri. Program selama dua bulan ini bertujuan untuk menajamkan skil berbahasa inggeris dalam kalangan bakal pelajar yang ingin menyambung pembelajaran di peringkat ijazah di kolej ini. Dana yang disediakan meliputi kos penginapan hostel, utiliti dan program IBI itu sendiri.  Setiap peserta yang mengikuti program ini juga disediakan duit poket sebanyak RM 200 setiap dua minggu untuk menampung kos pembelanjaan harian mereka.


            Bagi peserta daripada Sabah dan Sarawak pula, pihak kolej menyediakan kos penerbangan ke Semenanjung Malaysia beserta pengangkutan daripada lapangan terbang ke kolej. Peserta program IBI turut diberi kebebasan membuat pilihan sama ada ingin meneruskan pengajian di kolej ini atau tidak. Bagi yang memutuskan untuk menyambung pembelajaran di sini, duit poket sebanyak RM250 setiap dua minggu akan dibekalkan sehingga mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).



Keprihatinan Kolej Teknologi Alpha makin terserlah apabila pihak kolej akan turut menyediakan tempat-tempat yang sesuai untuk para pelajar membuat praktikal seterusnya ke alam pekerjaan. Peluang yang diberikan ini adalah amat sukar dijumpai di tempat lain dan telah memberi nafas baru kepada para pelajar yang kebanyakannya tidak bernasib baik untuk menyambung pembelajaran mereka ke peringkat ijazah.

            Sistem pendidikan sedia ada yang hanya melihat akan keputusan peperiksaan sebagai penanda aras akan kemampuan pelajar wajar diteliti terutamanya pada masa kini dimana terlalu ramai pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang sehingga menutup peluang kepada golongan pelajar yang sedikit rendah keputusannya. Pihak Kolej Teknologi Alpha sepenuhnya percaya akan potensi yang ada pada setiap pelajar tanpa mengambil kira keputusan peperiksaan atau pointer yang diperolehi. Pihak kolej yakin dengan usaha berterusan ditambah dengan program IBI untuk pemantapan bahasa Inggeris akan dapat melahirkan pelajar yang mampu menyumbang kepada negara suatu masa nanti.

Dr Hamzaid turut menyeru anak-anak muda di Malaysia untuk tidak mudah berputus asa dalam meneruskan pembelajaran kerana ia merupakan salah satu jalan untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Beliau turut berbesar hati untuk menyediakan peluang kedua ini demi membantu masyarakat namun menegaskan hanya untuk mereka yang benar-benar menginginkannya.



MAJLIS DECLARATION NIGHT BUKTI KEMAMPUAN PELAJAR

SEREMBAN, 11 Oktober - Majlis Tertinggi Persatuan Komunikasi di Kolej Teknologi Alpha telah menganjurkan satu majlis yang dinamakan “Declaration Night”. Bertempat di dataran Kolej Teknologi Alpha, majlis gilang-gemilang ini bertujuan untuk menghimpunkan pelajar-pelajar jurusan komunikasi dari semester 1 hingga semester 7 serta merapatkan lagi ukhwah antara satu sama lain termasuklah pensyarah-pensyarah jurusan komunikasi.

            Majlis yang dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam itu mendapat sambutan meriah apabila para tetamu telah memenuhi perkarangan dataran lebih awal daripada yang dijangka. Setiap semester mengenakan pakaian yang seragam sekali gus memeriahkan lagi suasana.

  


Diikuti dengan ketibaan dif-dif jemputan yang terdiri daripada Penasihat Program, Cik Nur Adillah binti Maaz yang juga salah seorang pensyarah jurusan komunikasi kolej serta pensyarah-pensyarah jurusan komunikasi yang lain. Turut hadir pada majlis tersebut juga Ketua Pegawai Eksekutif kolej, Dr Hamzaid bin Yahya dan Dekan Jurusan Komunikasi sendiri, Dr Wan Maharuddin bin Wan Sulaiman yang menjadi tetamu kehormat majlis.

Majlis dimulai dengan bacaan doa oleh wakil pelajar diikuti ucapan alu-aluan daripada presiden Majlis Tertinggi Persatuan Komunikasi, saudara Muhammad Hamzah bin Razali. Majlis diikuti dengan ucapan daripada Dr Wan Maharuddin selaku Dekan Jurusan Komunikasi dan dituruti oleh ucapan Dr Hamzaid yang banyak menghamburkan pujian ke atas majlis yang dianjurkan.

Majlis mula menjadi gamat apabila waktu yang ditunggu-tunggu tetamu akan dimulakan iaitu persembahan daripada setiap wakil semester. Persembahan pembukaan adalah daripada wakil semester 7 yang mempersembah persembahan ala-ala haka dalam sukan rugby. Persembahan penuh semangat itu menggamatkan suasana sesuai dengan status semester 7 sebagai penuntut paling senior.

Persembahan kedua adalah daripada semester 3 yang berupa sketsa bertemakan suasana pembelajaran ketika kuliah. Lakonan yang ditampilkan amat menghiburkan dimana mereka meniru gerak gaya dan karakter pensyarah ketika mengajar. Ia sekali gus mencuit hati para pensyarah yang hadir serta tetamu yang lain.

Seterusnya, majlis digamatkan dengan persembahan tarian daripada semester 2. Tarian yang unik itu bukan sahaja menghiburkan malahan menunjukkan bakat tersendiri yang ada dalam kalangan pelajar. Semua tetamu dilihat terpegun dengan persembahan memukau daripada wakil semester 2 tersebut.

Majlis diteruskan lagi dengan persembahan nyanyian daripada semester 1. Walaupun masih baru, mereka membuktikan kemampuan tersendiri mereka standing dengan semester-semester lain. Kemudian, tiba giliran semester 5 untuk membuat persembahan. Mereka mempersembah tarian mengikut rentak muzik daripada pelbagai genre yang unik serta melucukan.

Semester 4 dan semester 6 adalah dua wakil semester terakhir yang membuat persembahan. Kedua-dua semester mempersembah nyanyian yang menjadi kegemaran masyarakat pada masa kini. Para hadirin bersorak serta terpegun dengan kelunakan suara yang dinyanyikan oleh wakil semester 4 dan 6. Sebagai persembahan penutup, ia terbukti wajar ditunggu-tunggu oleh para tetamu kerana standard nyanyian yang ditunjukkan adalah tinggi.


Dr Hamzaid atau lebih mesra dipanggil dengan Abah amat berbangga dengan pencapaian para pelajarnya sendiri yang mengadakan majlis tersebut untuk julung kalinya dalam sejarah kolej. Beliau berkata, “Saya sebenarnya tak sangka para pelajar saya ni dapat buat majlis sampai macam ni sekali”. Beliau yang turut merasmikan majlis menambah, “bila saya dimaklumkan akan ada majlis sebegini, saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana menganggap ia sekadar proses pembelajaran untuk pelajar-pelajar saya”. “Jadi saya nak ucapkan tahniah lah kepada semua yang terlibat”, ujarnya lagi.

Penasihat program, Cik Nur Adillah yang juga salah seorang pensyarah kolej, turut menghamburkan pujian terhadap kejayaan majlis yang dianjurkan. “Saya amat berpuas hati dengan apa yang disampaikan oleh pelajar-pelajar saya”, ujarnya. “Saya tahu mereka telah bekerja keras untuk majlis ini, jadi saya amat bersyukur kerana semuanya berjalan lancar”, tambahnya lagi.

Kejayaan majlis Declaration Night telah mengangkat nama Kolej Teknologi Alpha sendiri dan juga menjadi penanda aras kepada pelajar-pelajar yang lain. Walaupun baru pertama kali dianjurkan, kematangan para pelajar telah terbukti dalam merancang dan menjalankan majlis yang gilang-gemilang ini.


Monday, 20 November 2017


RENCANA BERITA KOPRAT


INSENTIF BELAJAR DI KOLEJ TEKNOLOGI ALPHA

Pusat pengajian ataupun lebih dikenali sebagai kolej mahupun universiti boleh didefiniskan sebagai satu tempat dimana seseorang itu untuk mendapatkan ilmu pengetahuan serta bagi memperolehi sijil-sijil peringkat atasan seperti Diploma, Ijazah dan sebagainya.
Terdapat beberapa jenis pusat pengajian tinggi seperti IPTA,IPTS,Kemahiran dan sebagainya. Sememangnya kehendak setiap orang adalah untuk memasuki IPTA, namun tidak semua bernasib baik untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA tersebut.
Walaupun begitu, terdapat sebuah kolej yang sanggup menerima pelajar-pelajar lepasan STPM yang tidak dapat memasuki IPTA serta kalangan pelajar yang kurang berkemampuan. Kolej itu dikenali sebagai Kolej Teknologi Alpha. Kolej Teknologi Alpha ini diasaskan oleh seorang Dr dan juga merupakan seorang pakar ekonomi iaitu Dr Hamzaid Bin Yahya atau lebih mesra dikenali sebagai abah oleh kalangan pelajar.






Kolej Teknologi Alpha  yang nama asalnya adalah  Institut Pujangga telah ditubuhkan pada Mei 1997 di bawah Pujangga Sari ( M ) Sdn. Bhd. yang telah diperbadankan pada 28hb.April 1997. Walau bagaimanapun, kelulusan penubuhannya oleh Jabatan Pendidikan Swasta Kementerian Pendidikan Malaysia telah diperolehi pada 23hb.Jun 1998. Perubahan nama telah dibuat sebanyak dua kali iaitu pada November 2000 ( Institut Pengurusan Pujangga) dan pada tahun 2005 ( Kolej Teknologi Alpha ).

 Kolej ini adalah milik Syarikat Bumiputera ( Pujangga Sari (M) Sdn. Bhd sepenuhnya dan insyAllah akan kekal sebagai milik Bumiputera. Buat masa ini,  Kolej Teknologi Alpha ini ditempatkan di Lot 162, 168-173 Jalan S2B3 Green Technology Park, Seremban.






Objektif penubuhannya adalah unik dan lain daripada kolej-kolej yang terdapat di Negeri Sembilan. Antara objektifnya ialah meneroka, memelihara dan memanfaatkan ilmu bagi melahirkan graduan yang berhemah tinggi, berketrampilan dan bertakwa.
Selain itu, misi bagi kolej ini adalah untuk menjadi pusat kecemerlangan yang memberi peluang kepada individu pelajar dan ahli masyarakat memangkinkan produktiviti dan kualiti yang tinggi melalui pendidikan pengurusan menerusi pegajaran, pembelajaran, penyelidikan, dan khidmat masyarakat.
Antara insentif yang boleh diperolehi apabila mendaftar masuk di kolej ini adalah dapat meningkatkan pengunaan bahasa inggeris. Hal ini kerana mereka akan diberikan kursus bahasa inggeris yang dikenali sebagai insentif bahasa inggeris (IBI) selama 2 bulan. Kursus ini diberikan bagi memastikan pelajar-pelajarnya boleh berkomunikasi dengan lebih baik terutama dalam bahasa inggeris. Ketika kursus ini diadakan mereka tidak perlu membayar apa-apa yuran kerana telah ditanggung oleh Dr Hamzaid.
Selain itu,  tiada yuran pendaftaran yang dikenakan kepada pelajar-pelajar. Malahan Dr Hamzaid akan memberi duit poket sebanyak RM 200.00 bagi menampung perbelanjaan sebelum mendapat bantuan PTPTN. Hal ini kerana beliau ingin membantu serba sedikit bagi memastikan pelajar-pelajarnya mempunyai wang saku untuk membeli barang.

Disamping itu, hubungan pelajar dengan pensyarah di kolej ini adalah sangat baik serta lebih dekat berbanding dengan kolej mahupun universiti yang lain. Hal ini kerana kebanyakkan pensyarah di kolej ini adalah terdiri daripada orang-orang yang berpengalaman luas serta tidak kedekut untuk berkongsi ilmu yang mereka perolehi. Berbanding dengan kolej lain dimana pensyarah sukar untuk berjumpa dengan pelajarnya kerana jumlah pelajarnya yang sangat ramai.
            Seterusnya, lokasi kolej ini adalah sangat strategik dimana kolej ini terletak berdekatan dengan pasaraya Aeon, Mydin dan tempat reakrasi. Hal ini secara tidak langsung memudahkan para pelajar untuk berbelanja serta untuk melepaskan tekanan yang dihadapi ketika membuat sesuatu kerja.


Kesimpulannya, Kolej Teknologi Alpha ini adalah diasaskan bagi membantu kalangan pelajar yang kurang berkemampuan serta boleh dijadikan satu platform untuk memacu kejayaan setiap ahlinya. Kolej ini juga mempunyai pelbagai kemudahan yang sangat diperlukan oleh pelajarnya. Oleh itu, janganlah kita berputus asa jika tidak dapat belajar di IPTA mahupun kolej yang lain kerana masih lagi wujud tempat yang baik untuk kita memperolehi pelajaran.